ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perang harga dicetuskan jenama China jejas industri automotif tempatan – Proton

Berita Tempatan

Views

Perang harga dicetuskan jenama automotif dari China berpotensi menjejaskan industri automotif tempatan, khususnya pengeluar peralatan asal (OEM) yang memiliki operasi pembuatan di Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (Proton), Roslan Abdullah, berkata pemberian diskaun besar-besaran oleh jenama tertentu, meskipun memberi manfaat kepada pelanggan turut membawa kesan berantai kepada vendor tempatan yang sekian lama membekalkan komponen dan bahagian kenderaan.

“Kesan perang harga ini bukan sahaja menjejaskan OEM yang memiliki kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini, malah memberi impak kepada vendor serta pengedar tempatan.

“Keadaan ini berlaku apabila lambakan stok meningkat susulan pelanggan lebih memilih kenderaan ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada masa sama, terdapat pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan harapan harga akan terus menurun,” katanya kepada BH.

Roslan menjelaskan, perang harga yang berlaku turut memberi kesan kepada pasaran kenderaan terpakai, apabila penurunan harga drastik menjejaskan nilai jualan semula kenderaan.

JOM BACA >> INTIP: Proton Saga MC3@AMA01 naik Cameron Highlands, Myvi@King jadi peneman?

“Sebagai contoh, jika sebuah kenderaan jenama A dibeli pada harga RM100,000, kemudian dijual pada harga lebih rendah, katakan RM80,000 selepas diskaun, ini akan memberi kesan besar kepada nilai susut harga kenderaan terbabit. Pasaran perniagaan tukar beli (trade-in) juga akan menerima impak negatif.

“Kesan ini membuatkan pelanggan lebih cenderung membeli kenderaan baharu kerana harganya lebih kompetitif berbanding kenderaan terpakai,” katanya.

Menurutnya, OEM tempatan tidak mampu menurunkan harga kenderaan setanding dengan jenama China kerana kos operasi yang lebih tinggi, termasuk kos pembuatan, vendor serta rantaian bekalan.

“OEM perlu memastikan kelangsungan perniagaan. Kami tidak boleh menurunkan harga ke tahap terlalu rendah, namun boleh menawarkan diskaun atau promosi seperti rebat tunai dan pakej aksesori untuk mengimbangi harga pasaran,” katanya.

Roslan berkata, Proton mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keuntungan syarikat tidak terjejas dalam jangka panjang, memandangkan ia bukan sahaja menggaji lebih 7,000 pekerja, tetapi juga membabitkan lebih 5,000 pekerja dalam rangkaian jualannya.

JOM BACA >> INTIP: Proton ‘semakin rancak’ menguji X50 FL (facelift) dan Saga MC3@AMA01!

“Vendor berskala besar mungkin boleh bertahan kerana mereka mempunyai perkongsian dengan jenama lain. Namun, vendor kecil yang bergantung kepada satu jenama pasti terkesan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jenama menurunkan harga mendapat kelebihan daripada konsep import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan separa (SKD), yang memerlukan pelaburan lebih rendah berbanding OEM tempatan seperti Proton.

“Pelaburan mereka di Malaysia masih minimum. Oleh itu, mereka mampu menawarkan diskaun besar kerana kos operasi juga rendah. Namun, ini memberi tekanan kepada syarikat beroperasi di Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Roslan turut menekankan kepentingan penilaian semula terhadap impak perang harga ini bagi melindungi jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) adalah sasaran kerajaan, namun kajian semula perlu dilakukan bagi memastikan jenama pemasangan tempatan (CKD) yang mempunyai kilang dan rangkaian vendor sendiri dapat terus berdaya tahan,” katanya. – Berita Harian

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> Proton bakal lancar sekurang-kurangnya empat model pada 2025 – Ini yang kami tahu…
JOM BACA >> INTIP: Unit ujian Proton Saga MC3@AMA01 kelihatan di Petron, dilengkapi sistem ADAS
JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua
JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply