Syarikat pengeluar kereta gergasi Jepun, Honda Motor dan Nissan Motor akan mengadakan perbincangan mengenai penggabungan bertujuan membantu mereka bersaing dengan Tesla dan pembuat kenderaan elektrik lain, lapor akhbar Nikkei hari ini.
Kedua-dua firma itu sedang mempertimbangkan untuk beroperasi di bawah sebuah syarikat induk tunggal dan tidak lama lagi akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk entiti baharu itu, menurut Nikkei yang berpangkalan di Tokyo.
Ia turut melaporkan Honda dan Nissan akan mempertimbangkan untuk membawa masuk Mitsubishi Motors, di mana Nissan adalah pemegang saham utama di bawah syarikat induk untuk mewujudkan salah satu kumpulan automatif terbesar dunia.
Dalam pada itu, Honda dan Nissan mengeluarkan kenyataan hampir sama sebagai tindak balas, mengatakan butiran dalam laporan itu belum diumumkan oleh mana-mana firma dan mereka sedang ‘meneroka pelbagai kemungkinan untuk kerjasama masa depan, memanfaatkan kekuatan satu sama lain’ seperti diumumkan sebelum ini.
JOM BACA >> INFO: Daihatsu tidak terlibat dalam pembangunan EV pertama Perodua
Pada Mac lalu, pembuat kereta nombor dua dan tiga Jepun, selepas pesaing Toyota, mengeratkan hubungan apabila mereka bersetuju meneroka perkongsian strategik pada kenderaan elektrik atau EV.
Penganalisis berkata, langkah itu bertujuan mengejar pesaing China seperti BYD yang mendahului pasaran ke atas kenderaan elektrik, manakala firma Jepun kehilangan tempat dengan lebih memfokuskan pada kenderaan hibrid.
China mengatasi Jepun sebagai pengeksport kenderaan terbesar dunia pada 2023, dibantu oleh penguasaannya dalam kenderaan elektrik.
Pada Mei lalu, Honda mengumumkan rancangan untuk menggandakan pelaburan dalam kenderaan elektrik kepada AS$65 bilion (RM183.44 bilion) menjelang 2030, sebahagian daripada sasaran cita-cita tingginya yang ditetapkan tiga tahun lalu untuk mencapai 100 peratus jualan kenderaan elektrik menjelang 2040.
Nissan turut menunjukkan cita-cita sama, dengan pada Mac mengatakan 16 daripada 30 model baharu yang dirancang untuk dilancarkan dalam tempoh tiga tahun akan dikeluarkan dalam kelas kenderaan elektrik.
JOM BACA >> INFO: Perodua Myvi generasi keempat (D01D) – Ini yang kami tahu
Syarikat kereta gergasi dunia semakin mengutamakan kenderaan elektrik dan hibrid dengan permintaan yang semakin meningkat untuk model yang kurang menyumbang kepada pencemaran berikutan peningkatan kebimbangan terhadap perubahan iklim yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, pada masa sama, terdapat kelembapan dalam pasaran kenderaan elektrik berikutan kebimbangan pengguna mengenai harga tinggi, kebolehpercayaan serta kekurangan pusat pengecasan.
Model kenderaan hibrid yang menggabungkan kuasa bateri dan enjin bahan bakar dalaman terbukti popular di Jepun yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jualan pada 2022.
Tetapi, tumpuan firma Jepun pada hibrid menyebabkan mereka berada di landasan perlahan dalam memenuhi selera yang semakin meningkat untuk kenderaan elektrik.
Hanya 1.7 peratus kereta yang dijual di Jepun pada 2022 adalah elektrik berbanding 15 peratus di Eropah barat dan 5.3 peratus di Amerika Syarikat. – Berita Harian
KLIK UNTUK BESARKAN
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Bayangan awal Perodua Bezza generasi kedua 2026
JOM BACA >> IMPRESI ARTIS: Ini gambaran awal Proton Saga MC3 (P2-14A@AMA01) sedan dan hatchback mengikut imaginasi kami
JOM BACA >> RISIK: Proton sedang bangunkan Saga MC3 – Ada versi sedan dan hatchback, pilihan rangkaian kuasa petrol dan EV, bakal dilancar menjelang akhir 2025?
JOM BACA >> Meskipun sambutan agak sendu, Geely tetap lancar model ‘Proton Exora tak jadi’, Jiaji 2025 di China
JOM BACA >> INTIP: Mitsubishi Xforce dengan Xpander facelift ke tu? Nak ke mana la agaknya ye…
KOMEN TERKINI