ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perodua sasar jualan 1 juta Myvi pada 2017

Views

myvi fl

Perodua mensasarkan jualan 1 juta unit Myvi pada akhir tahun 2017 berdasarkan kepada 850,000 unit yang telah dijual pada akhir April 2015 hasil daripada permintaan berterusan serta promosi-promosi yang lain. “Model Myvi yang menyambut ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini, telah diterima dengan baik. Secara purata pada tahun ini, tempahan Myvi adalah kira-kira 8,000 unit sebulan,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata.

Sejak Perodua Myvi dilancarkan pada tahun 2005, model ini telah memperkenalkan 10 varian berbeza dan pada tahun 2011 Myvi generasi kedua pula dilancarkan. “Sekiranya tiada sebarang masalah, kami amat yakin dan optimis dengan adanya aktiviti dan promosi yang telah kami rancang sehingga tahun 2017, sasaran 1 juta Myvi mampu dicapai,” kata beliau. Aminar berkata sebagai memperingati peristiwa terpenting di dalam sejarah ini, Perodua akan mengadakan karnival selama 2 hari iaitu pada 23 dan 24 Mei dengan menjemput semua pemilik dan pemandu Myvi di seluruh negara untuk mengambil bahagian.

Pada 21 April lalu, Perodua telah mengeluarkan kenyataan media yang menjemput pemilik dan pemandu Myvi untuk ke “Myvi Nation, Himpunan Myvi Terbesar “. Mereka yang mengambil bahagian perlu membawa Myvi mereka ke sini dan menyertai acara yang berlangsung bagi melayakkan mereka untuk menerima sijil dan pek hadiah eksklusif bernilai RM400 dan ke atas, serta berpeluang memenangi Hadiah Utama iaitu Myvi Edisi Khas sempena Ulang Tahun Myvi yang ke-10. “Setakat ini, kira-kira 3,000 pemilik atau pemandu Myvi telah mendaftar di laman web Perodua dan kami amat berterima kasih di atas sokongan para pelanggan yang kami hargai,” kata Aminar.

Orang ramai juga dapat menikmati tawaran istimewa , permainan yang menarik serta aktiviti yang menyeronokkan, yang akan diumumkan dari semasa ke semasa di program tersebut. Program yang akan berlangsung selama dua hari ini akan diadakan di Setia City Oval Lawn, Shah Alam. Mereka juga akan dihiburkan dengan konsert; pertunjukan bunga api, atau memilih untuk menonton filem secara terbuka selepas menaiki belon udara panas.

Sambutan “Hari Penghargaan Ulang Tahun Myvi ke-10 ” akan turut berlangsung di 182 pusat jualan dan 183 pusat servis Perodua di seluruh negara dengan aktiviti-aktiviti menarik termasuklah pertandingan mewarna, upacara memotong kek dan peraduan “Wall of Fame”. Dalam peraduan ini, pelanggan diminta untuk menghantarkan gambar mereka beserta kapsyen yang paling unik, kreatif dan menarik yang bertemakan Perodua Myvi, “Tunjukkan Rasa Cinta Anda”. Terdapat 10 unit GoPro Hero 4 yang ditawarkan sebagai hadiah utama serta baucar Perodua untuk dimenangi (tertakluk kepada terma dan syarat).

“Kami akan membuka peraduan ini bermula pada 23 Mei di semua pusat jualan dan cawangan servis Perodua dengan menawarkan 1 unit Myvi Edisi Khas sempena Ulang Tahun Myvi yang ke-10 sebagai hadiah utama untuk dimenangi. Untuk kelayakan, peserta perlu mendaftar kenderaan Perodua baharu atau servis kenderaan Perodua mereka dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM180,” kata Aminar.

Dari segi prestasi jualan, Perodua menjual 74,700 unit kenderaan iaitu 34.8% daripada jumlah anggaran total keseluruhan industri iaitu 218,600 bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25,500 adalah Perodua Myvi. Pada bulan Januari tahun ini, Perodua mengumumkan sasaran jualan sebanyak 208,000 unit, sasaran perolehan sebanyak RM306 juta daripada perkhidmatan penyelenggaraan kenderaannya, pelincir dan operasi ‘Body & Paint’, serta RM258.9 juta daripada perniagaan alat ganti dan aksesori.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

5 Comments

Leave a Reply