ARKIB

KATEGORI

Buletin

MINI 5-Pintu Baharu diperkenalkan!

Views

1656344_10152927059377318_393864878296011587_n

MINI Malaysia telah memperkenalkan varian kedua MINI generasi ketiga, MINI 5-pintu baharu. Mendefinisikan semula keseronokan pemanduan di kawasan urban, model terbaharu MINI ini menjadi model lima pintu pertama dalam segmen kereta kecil. Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, “Menerusi pengenalan MINI 5-pintu baharu, kami di MINI Malaysia amat teruja untuk terus menawarkan para pelanggan setia kami dengan rangkaian model lebih luas daripada jenama kereta kompak premium yang paling mengujakan di dunia ini.

Tambah beliau, “MINI adalah jenama kereta kecil premium yang paling tidak konvensional di dunia. Justeru, MINI 5-pintu baharu membolehkan para peminatnya untuk sama-sama dewasa dengan jenama MINI. Malah, tarikan ikonik MINI tidak pernah padam walaupun untuk generasi lebih muda. MINI 5-pintu baharu ialah sebuah kereta untuk kegunaan harian yang sempurna buat keluarga kecil yang urban dan moden di Malaysia.

Berbanding model MINI tiga pintu, dimensi luaran MINI 5-pintu baharu ditambah dengan perkadaran yang tepat. Biarpun mengekalkan elemen-elemen rekaan MINI yang tersendiri seperti unjuran pendek dan bonet hadapan yang berbentuk seperti cengkerang, MINI Cooper S 5-Pintu baharu adalah 16 inci lebih panjang berbanding MINI asal, demi menyerlahkan lagi karekternya yang mampu menawarkan lebih ruang serta penambahan jumlah pintunya. Dimensi tubuh MINI Cooper S 5-Pintu baharu adalah sepanjang 3,982mm, selebar 1,727mm dan memiliki ketinggian 1,425mm. Semua ukuran ini sesuai dengan penambahan dua pintu, selain memudahkan urusan keluar masuk para penumpang di tempat duduk belakang. Bukan itu sahaja, penambahan panjang badan MINI Cooper S 5-Pintu baharu turut meningkatkan ruang kargo sebanyak 67 liter menjadi 278 liter, berbanding model MINI hatch.

Melihat reka bentuk luarannya, penampilan tersendiri MINI Cooper S 5-Pintu baharu diserlahkan lagi dengan gayaan MINI yang sudah cukup terkenal. Ia dapat dikenal pasti menerusi rekaan gril radiator dengan corak sarang lebah dan lampu utama eliptikal yang klasik. MINI 5-pintu baharu juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang dan lampu utama LED, serta lampu kabus. Ia menawarkan sumber pencahayaan lampu tinggi dan rendah, di samping fungsi Park Distance Control pada bahagian belakangnya. MINI Cooper S 5-Pintu baharu menggunakan rim dua tona Roulette Spoke bersaiz 17 inci yang dibalut dengan tayar jenis run-flat.

10620673_10152927059707318_7643063296918742744_n

MINI Cooper S 5-Pintu baharu dijana oleh enjin petrol MINI TwinPower Turbo Technology bersesaran 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum mencecah 141kW/192hp dan tork 280Nm demi menawarkan prestasi pemanduan lebih sporty berbanding sebelumnya. Ini merupakan enjin sama yang diperkenalkan pada model MINI 3-Pintu awal tahun ini. Dipadankan dengan transmisi sports enam kelajuan automatik, MINI Cooper S 5-Pintu baharu berupaya memecut dari 0-100km/j dalam tempoh hanya 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 230km/j. Biarpun dengan angka-angka tersebut, ia tetap mampu menawarkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 5.5 liter bagi setiap 100km dengan tahap emisi 129g/km.

Ruang dalaman MINI Cooper S 5-Pintu baharu menampilkan kemasan kulit berwarna hitam (Cross Punch Carbon Black), serta tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang hadapan. Kemasan dalaman yang terdiri daripada corak kotak-kotak, garis berwarna krom dan bumbung yang menggunakan material Anthracite nyata menyerlahkan lagi kemewahan ruang ini. Rasa sporty ruang kabin kereta disempurnakan dengan stereng multi fungsi MINI John Cooper Works yang hadir bersama paddle shifter, tuil kawalan lampu automatik dan alat pengesan hujan. Stereng ini dibalut kulit yang ditebuk agar tidak licin, jahitan benang berwarna merah dan sulaman logo JCW pada bahagian bawahnya.

MINI Cooper S 5-Pintu baharu boleh didapati dalam tujuh warna berbeza dengan tambahan warna biru (Electric Blue) sebagai warna baharu MINI, eksklusif untuk MINI 5-Pintu baharu. Sementara bahagian bumbung, perumah cermin sisi dan garis pada bonet pula didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam atau putih. MINI Cooper S 5-Pintu baharu juga didatangkan bersama pakej program MINI Service Inclusive yang menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 50,000km. Anggaran harga runcit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) sebuah MINI Cooper S 5-Pintu ialah RM 238, 888.00 dan akan berada di semua pengedar sah MINI di seluruh negara mulai 15 dan 16 November 2014.

KLIK UNTUK IMEJ LEBIH JELAS

The New MINI 5-Door (1) The New MINI 5-Door (3) The New MINI 5-Door (5) The New MINI 5-Door (4) The New MINI 5-Door (6) The New MINI 5-Door (7) 10805757_10152927059602318_97239402504531245_n 10298692_10152927059652318_5736748797881621097_n 10421395_10152927059457318_9056420470349872337_n

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment

Leave a Reply